Wanita adalah hiasan dunia dan
sebaik-baik wanita di muka bumi Allah yang agung ini adalah wanita yang
solehah. Tiada lelaki yang tidak mahukan seorang wanita untuk dijadikan
teman hidupnya memiliki ciri-ciri wanita solehah. Korang macam mana?
Okey Lepas baca habis entri ini, sila jawab persoalan aku tu ye!
Entri ini ditulis bertujuan untuk
berkongsi sebuah kisah pada zaman dahulu tentang kasih dan cintanya
seorang wanita ini kepada Allah S.W.T. Mari sama-sama kita baca dan
ambil iktibar dari kisah yang membuatkan mata dan hati aku menangis.
Dalam sebuah riwayat mengatakan bahawa seorang lelaki munafik
yang sangat kedekut telah bersumpah kepada isterinya supaya tidak
menyedekahkan sesuatu apa pun kepada orang lain. Maka suatu hari datang
seorang peminta sedekah ke rumah wanita itu ketika suaminya tiada di
rumah. Peminta sedekah itu berkata, “Wahai penghuni rumah, tolonglah
berikan aku sesuatu”.
Sebaik sahaja isteri orang munafik itu
mendengar permintaan peminta sedekah, lalu diberinya 3 keping roti. Lalu
peminta sedekah itu berlalu dan mengucapkan terima kasih. Dalam
perjalanannya, dia bertemu dengan lelaki munafik tersebut lalu lelaki
munafik itu bertanya kepada peminta sedekah, “Di manakah kamu mendapat
roti ini?” Maka pengemis menjawab, “Orang di rumah sana memberiku”.
Orang munafik mengetahui bahawa rumah
yang dimaksudkan adalah rumahnya, lalu dia pulang dengan perasaan marah
dan berkata kepada isterinya, “Bukankah aku telah melarang kamu dari
memberikan sesuatu apa pun kepada sesiapa?” Isterinya menjawab, “Aku
berikan roti kepada pengemis itu kerana Allah S.W.T”.
Apabila orang munafik itu mendengar
kata-kata isterinya, maka dia menjadi sangat marah lalu menyalakan dapur
rotinya sehingga panas. Kemudian dia berkata kepada isterinya,
“Berdirilah dan campakkanlah diri kamu ke dalam api ini kerana Allah”.
Isterinya akur dengan kehendak suaminya
lalu memakai perhiasannya dan berhias sehingga cantik. Orang munafik itu
berkata, “Kamu jangan pakai perhiasan-perhiasan ini”. Isterinya
menjawab, “Seorang kekasih akan memakai perhiasan untuk kekasihnya,
sedangkan aku adalah orang yang sedia berkunjung pada kekasihku
(Allah)”.
Setelah itu, wanita tersebut terus
terjun ke dalam dapur tempat membuat roti yang panas lalu orang munafik
tesebut menutup tudung dapur dan beredar dari situ. Setelah tiga hari,
orang munafik itu pun membuka tudung dapur dan dia terperanjat apabila
melihat isterinya itu masih sihat tanpa terdapat apa-apa kecacatan pada
dirinya berkat kuasa Allah.
Kemudian terdengarlah orang munafik itu
suara dari langit yang berkata, “Kamu tidak mengerti bahawa sesungguhnya
api tidak akan membakar kekasih-kekasih Kami”.
Dari kisah ini apa yang dapat
disampaikan adalah mereka yang benar-benar mencintai Allah dan agamaNya
akan terselamat dari siksaan api di dunia mahupun api neraka di akhirat
kelak. Jadi mari sama-sama kita muhasabah diri di manakah kedudukan
kita di sisi Allah kini? Apakah kita ada perasaan seperti wanita
tersebut yang begitu cintakan Allah? Sama-sama kita renungkan.